Pages

Thursday, April 21, 2011

JUMAAT penghulu Hari

Assalamualaikum w.b.t
Salam sejahtera dan selamat hari Jumaat buat semua rakan-rakan pengunjung. Cepat benar masa berlalu cuma tinggal beberapa hari saja lagi akan masuk bulan Mei. rasanya baru dua minggu lepas aku meninggalkan bulan Mac, itulah perjalanan masa dan akal yang tidak seiring, mungkin sebab aku banyak berangan atau terlebih tidur!

Baiklah, Jumaat merupakan penghulu segala hari kerana kemuliaan dan kelebihannya. Malah, peristiwa-peristiwa besar banyak berlaku pada hari Jumaat.

Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, sebagai contoh daripada hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, yang bermaksud: "Jumaat dinamakan sebagai 'Sayyidul aiyam' iaitu penghulu segala hari '

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: 'Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itulah Nabi Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dikeluarkan dari syurga. Pada hari Jumaat juga akan berlakunya hari kiamat. Pada hari Jumaat, tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya' (hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 'Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat. Pada hari Jumaat seseorang hamba mukmin apabila berdoa kepada Allah meminta kebaikan maka doanya akan dimakbulan, jika meminta melindunginya dari kejahatan maka Allah akan melindunginya dari kejahatan' (hadis riwayat Tirmidzi)

Melalui penerangan itu jelas sekali hari Jumaat bukanlah sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan oleh umat Islam khususnya. Amin!

No comments:

Post a Comment